Thursday, November 24, 2011

Program berkhatan 19-22 Nov 2011

Seronok saya buat kerja ni. Teringat zaman belajar di Universiti dulu reconstitute ubat anti-kanser dalam bilik bersih.
Sahabat-sahabat Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina atau singkatannya PASPISMA dan Yayasan Amal Malaysia dari Terengganu dan Kelantan telah menghadirkan diri ke Sabah pada 19-24 November 2011 dalam siri Program Khatan Borneo.

Serius saya katakan, saya tidak mengenal seorangpun dari mereka sebelum kehadiran mereka. Tetapi perjumpaan kami menggembirakan saya. Perjumpaan dan amal jamaie atas nama Islam selalu bersikap begitu. Biarlah kita tidak pernah bersua, tetapi pertemuaan pertama dan bual bicara awal cepat menimbulkan saling percaya.

Program khatan

Selesai makan tengah hari dan membeli baki keperluan termasuk ubat-ubatan pada 19 Nov 2011, mereka terus ke Pitas. Pada pagi 20 Nov 2011 mereka memulakan program khatan Pitas. Selanjutnya di Kota Belud pada petang 20 Nov 2011. Saya tidak dapat mengikuti kedua program ini kerana mempunyai urusan lain termasuk menunaikan sedikit hak keluarga - saya hampir tidak di rumah saban hujung minggu akhir-akhir ini.

Program 21 Nov 2011 dapat saya ikuti kerana mengambil cuti rehat. Ia bermula di Sepanggar pada sebelah pagi dan seterusnya di Kiulu pada sebelah petang. Faktor kekurangan petugas (terutama 'tok mudim'), bilangan kanak-kanak dikhatan dan jarak antara lokasi program memanjangkan tempoh program. Kami bermula pada awal pagi dan hanya tamat selepas menjelang Maghrib. Justeru, kami solat Maghrib di lokasi sebelum menutup turai program.

Jika dikira kudrat masa dan tenaga, ia memang memenatkan. Tetapi kudrat kepuasan, ia sebenarnya menambah tenaga.

'Budak bandar' vs 'Budak kampung'

Rasanya bukan kebetulan. Tetapi ia sangat signifikan.

Ramai betul kanak-kanak menangis dan menjerit dalam program khatan di Sepanggar. Malah ada juga yang 'menarik diri' sehendaknya dan berkeras tidak mahu dikhatan. Saya antara kaki pujuk pada pagi itu. Namun umpan mainan (yang telah sedia dibeli bapanya) yang saya api-apikan tidak mengena.

Tetapi suasana berbeza di Pitas, Kota Belud dan Kiulu. Suasana sunyi di ruang khatan, mungkin hanya sedikit suara mengaduh sekali-sekala. Dari sekecil-kecil tubuh hingga sebesar-besar tubuh, semuanya kelitihan lebih tenang. Pastinya kami petugas turut tenang. Keluar ruang khatan sambil tersenyum. Sehingga saya pun kehairanan tetapi bangga dan lega.

"Budak bandar ni manja. Budak kampung ni tahan lasak" itu hipotesis kami. Juga sedikit bingung dengan tindakan 'menangis tanpa sebab'.

Pasukan perubatan untuk amal

Banyak ruang lingkup dan kaedah dakwah termasuk Dakwah Bil Hal.

Antaranya melalui perkhidmatan kesihatan atau perubatan.

Dalam selang masa tugasan, saya berbual santai dengan Dr Fadliyazid dan pasukannya untuk merealisasikan PAPISMA Cawangan Sabah. Ia cadangan yang telah difikirkan lama oleh PAPISMA pusat. Tetapi faktor perhubungan, tenaga manusia dan lokaliti melambatkan upaya.

Saya setuju dengan usaha-usaha semasa yang ada. Saya cuba menolong yang daya. Jika masyarakat di Semenanjung mengharap pasukan amal seperti ini, apatah lagi masyarakat di Sabah. Keperluan berkali-kali ganda.

Sesuatu yang perlu difikirkan oleh sahabat Muslim di Sabah, terutamanya yang dilatih dalam bidang kesihatan dan perubatan. Permudahkanlah sahabat-sahabat kita di Semenanjung dengan menyumbang tenaga kita dalam medan dakwah sekitar kita sendiri. 

Saya rasa kelat bila ajakan kepada sahabat-sahabat 'seSabah' yang tidak memberi respon untuk berganjak beberapa puluh atau ratus kilometer dari rumah sedang sahabat-sahabat Semenanjung telah terbang ribuan kilometer dari mata keluarga mereka.

Moga titik tolak permulaan di belakang masa kita sekarang dan hanya sedang merintis kewujudan.

Dr Fadliyazid memberi taklimat sebelum program bermula. Bersamanya dihadapan adalah Cikgu Anuar Ali.
Anak-anak Sepanggar- selesai dan telah menarik nafas lega.

Anak-anak di Kiulu sedang menunggu giliran khatan. Diadakan di Masjid Al-Hidayah, Pekan Kiulu, Tuaran.
Rombongan sahabat pulang semula ke Semenanjung pada lewat pagi 22 Nov 2011 selepas ziarah Sekolah Rendah Islam Al-Hafidz pada awal pagi.

Jazakallahukhairankathira. Saya memohon maaf kerana tidak dapat banyak gambar untuk tatapan semua. Ini sahaja gambar yang diambil menggunakan kamera telefon saya (yang seadanya).

Semoga Perkongsian Bermanfaat

0 ulasan & perkongsian: