Sunday, May 8, 2011

Faateh kini sudah berumur 2 tahun


5 Jun 2011 – adalah tarikh genap anak kami Muhammad Faateh Nayeel Bin Firdaus berumur 2 tahun mengikut perkiraan kalender Masihi.


Cepat juga masa berlalu. Mengenang detik kelahirannya sebaik sahaja masuk waktu syuruk pada tarikh yang sama 2 tahun lalu di Hospital Likas (kini Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah – HWKKS).


Ketika itu saya menemani umminya di Dewan Bersalin dari awal pagi sehingga pertengahan pagi. Segalanya saya telah cerita dalam artikel sebelumnya (Klik SINI).


2 tahun


Dengan berat badan lebih 9 kg kini, saya tidak begitu risau seperti sebelumnya akibat hampir tiada kenaikan berat selama beberapa bulan sebelum ini. Umminya lebih risau dengan situasi itu berbanding saya.


Alhamdulillah, akhir-akhir ini beratnya naik walaupun tidak ketara. Selera makannya kian bertambah, mampu menghabiskan lebih banyak botol susu sehari malah dengan kuantiti susu sebotol yang lebih banyak. Selain itu, Faateh sudah pandai makan makanan lain seperti nasi, roti, biskut, buah, kismis mahupun coklat..


“Abi, abi, abi” panggil dia kepada saya setiap pagi.


“Ummi, ummi, ummi” begitu juga panggilan dia kepada umminya setiap pagi.


Sudah menjadi rutinnya begitu setiap pagi jika ternampak kami.


Jika kami sedang baring, dia akan mengambil cermin mata kami di tepi katil sambil memberi kepada kami.


“Spek. Spek” katanya sambil menghulurkan cermin mata.


Begitu juga di waktu malam, dia mengambil cermin mata dari kami, melipatkan dan seterusnya menyimpan di tepi katil.


Detik-detik itulah antara yang saya rindui setiap kali bertugas out-station. Rindukan Faateh mengambil dan menyimpan cermin mata biarpun menyebabkan kanta cermin mata saya terpaksa dilap akibat ‘dicop’ oleh jarinya..


Begitu juga dia mengangkat tangan saya untuk memakaikan jam tangan. Dia kenal dengan jam tangan saya.


Telefon bimbit saya dan isteri adalah dari model yang sama. Tampak sekali seperti sama keseluruhannya kerana warna, bentuk, dan segalanya benar-benar kelihatan sama. Cuma telefon saya lebih kelihatan lebih uzur. Sering Faateh menghulurkan telefon kami dan dia tahu yang mana milik saya dan isteri. MasyaAllah.


Mandi


Pada usia ini, Faateh sudah boleh membuka baju sendiri sepenuhnya. Juga meletakkan baju di bakul.


“Mandi” katanya setiap selepas itu.


Namun mandinya sukar untuk sempurna kerana dia nampak tidak selesa setiap kali air menyentuh kepalanya. Ditepisnya tangan kami.


Setiap kali menghulur berus gigi, dia lebih suka makan ubat gigi berbanding menggunakannya untuk menggosok gigi.


Tetapi untuk bersiap, kami perlu membantunya sepenuhnya. Jika tidak kedua belah tangan dan kepala mungkin dimasukkan ke dalam lubang tangan baju yang satu. Begitu juga kedua belah kaki mungkin termasuk dalam lubang kaki seluar yang sama.


"Henshemm (handsome)" Faateh memuji dirinya sekala-sekali melihat dirinya yang kemas.


Semoga terus sihat


Sejak kecil, Faateh telah disahkan penyakit asma. Sebab utama adalah struktur tulang rusuk peparunya yang sedikit berbeza dari keadaan normal.


Justeru, dia kerap batuk jika selsema mahupun walau sedikit kahak di tekaknya. Jika terkena ‘musimnya’, tidur malamnya terjejas teruk malah turut menjejaskan tidur malam kami.


Akibat yang sama, Faateh pernah 2 kali dimasukkan wad untuk mendapatkan penjagaan khusus di sana.


Atas faktor yang sama, kami terpaksa mengeluarkannya dari nursery dan menghantarnya ke rumah jiran kami dahulu. Jika tidak, selsema dan batuknya tidak pernah kebah dek terjangkit dari puluhan kanak-kanak yang ada bersama. Situasi itu memudaratkan selera makannya dan seterusnya tumbesarannya.


Mujurlah ada yang sudi menjaga Faateh di rumah mereka, bermain bersama 3 orang abang dan kakaknya di rumah jiran kami di Sembulan dahulu sepanjang hari kami berdua bekerja.


Sejak hampir sebulan lalu, umminya telah berjaya bertukar ke Klinik Kesihatan Luyang dari Hospital Papar. Jarak yang dekat dari rumah sangat memudahkan keadaan. Tiada lagi oncall pada hari-hari tertentu mahupun pada hujung minggu. Ummi dapat meluangkan lebih banyak masa bersama Faateh. Ia adalah nikmat yang hilang sejak Faateh berumur 2 bulan, yakni ketika umminya tamat cuti bersalin.


Alhamdulillah. Kami gembira dengan perkembangan semasa. Semestinya Faateh juga akan berkata gembira jika dia pandai memahami dan meluah rasa.


Semoga Faateh terus sihat dan sejahtera. Juga menjadi manusia yang memberi manfaat kepada semua, jauh lebih baik dari abi dan umminya.


Yang lain, doakan juga kesihatan dan kesejahteraan Faateh. Kami sangat menghargai doa kalian.


Semoga Perkongsian Bermanfaat