Friday, March 18, 2011

Kisah Kembara Cameron Highland

Kakak saya sudah merancang lama, sejak Januari 2011 lagi.

Saya tiada masalah, malah meraikan. Mengharapkan cuti kami pulang ke Semenanjung sempena cuti sekolah seminggu diisi dengan sesuatu yang luar dari kebiasaan harian.

Tujuan utama kami pulang pada cuti kali ini adalah menghadiri walimatulurus adik ipar saya pada 13 Mac 2011 di Alor Setar, Kedah dan 19 Mac 2011 di Sekinchan, Selangor. Jurang seminggu antara dua tarikh diisi dengan pelbagai acara termasuk percutian di Cameron Highland.

Selesai menemani dan membawa pasangan pengantin ke sesi fotografi di Kota Kuala Kedah serta menziarahi rumah saudara-mara sehingga hampir hujung malam 14 Mac 2011, saya harapkan saya dapat menyumbang sesuatu kepada mereka.

Lewat tengahhari 15 Mac 2011, kami sekeluarga, mama&abah, kakak beserta dua anaknya (Abang ipar, Abang Hasrul bertugas off-shore) bertolak dari Alor Setar menuju ke Cameron Highland menggunakan jalan Simpang Pulai. Korum tidak cukup kali ini......adik (Fairuz) tidak dapat cuti katanya manakala jadual pembelajaran Faezul di Kolej Matrikulasi tidak bercuti sebagaimana sekolah.

Kami menginap di Rumah Penginapan Sharples yang merupakan rumah penginapan milik TNB. Rumah selesa mempunyai 3 bilik tidur dan laman hias luas itu terletak di pinggir bukit tidak jauh dari Pekan Brinchang. Alhamdulillah, ini merupakan ziarah saya kedua di rumah tersebut selepas kali pertama kira-kira 7 tahun lalu. Terima kasih buat kakak yang merupakan kakitangan TNB atas tajaan penginapan (dan kenderaan barunya Toyota Rush berwarna putih dalam kembara 1000km pertamanya).

Sejarah serba ringkas

Menjadi minat saya melihat sesuatu lokasi dari perspektif masa silamnya. Entah kenapa. Tetapi ia cara saya menghargai kehadiran sesuatu dan membayangkan masa depannya. Saya berniat mengunjungi Time Tunnel yang terletak tidak jauh dari Pekan Brinchang, tetapi tidak tertunai. Saya tidak tahu apa kandungannya, tetapi sekadar menjangka jika dikunjung, boleh memberi maklumat sejarah Cameron Highland.

Melalui pembacaan ringkas, tanah tinggi yang terletak di Banjaran Crockers ini dibuka oleh Sir William Cameron, seorang pegawai Inggeris ketika membuat tinjauan pemetaan pada tahun 1885. Ada juga sumber cenderung berpendapat Cameron Highland sebenarnya ditemui oleh seorang Pahlawan Melayu bernama Kulop Riau (kisahnya dikatakan terdapat di Muzium Perak) yang juga merupakan pengikut William Cameron dalam ekspedisi mereka di Banjaran Titiwangsa dengan menaiki gajah.

Ekspedisi pemetaan mereka yang mengambil masa berbulan-bulan tersebut bermula dari Tanjung Rambutan, melalui punca Sungai Kinta menuju ke selatan akhirnya memperlihatkan mereka akan sebuah dataran tinggi (plateau) dari puncak Gunung Pondok Challi. Namun Cameron dikatakan gagal menandakan kewujudan dataran tinggi tersebut dalam peta sehingga disahkan oleh ekspedisi berikutnyanya pada tahun 1920an dan seterusnya dibangunkan sebagai resort pergunungan (hill resort) mulai 1925 atas cadangan Sir George Maxwell.

Mulai 1929, koloni Inggeris yang menyedari kesuburan tanahnya memulakan ladang teh yang pada hari ini dikenali sebagai Ladang Teh Boh. Udara sejuknya juga menarik minat sebahagian koloni Inggeris ini membina rumah dan mansion sebagai rumah persaraan mereka yang lebih selesa kepada mereka berbanding cuaca panas dan lembap khatulistiwa umumnya di Tanah Melayu (kini Semenajung Malaysia).

Jalan menuju ke Cameron Highland yang giat dilebar dan ditambaik baik pada 1896-1902 mendorong pembangunannya bermula di Tanah Rata dan Brinchang sebagai Stesen Pergunungan (Hill Station) terawal. 1926-1931 - pembahagian zon dibuat : zon pertanian, zon pekan (township), zon kediaman, zon tanah rezab hutan, zon perkhidmatan, zon pentadbiran dan zon rekreasi.

Perkembangan selanjutnya menyaksikan pelbagai tanaman yang diperkenalkan seperti pelbagai sayuran, bunga dan buah-buahan termasuk strawberry.

Hari ini Cameron Highland terus membangun kepada 9 buah pekan dan kampung iaitu Tanah Rata, Brinchang, Ringlet, Lembah Bertam, Kea Farm, Tringkap, Kuala Terla, Kampung Raja dan Blue Valley. Penempatan Melayu pertama dikatakan adalah Kampung Taman Sedia yang hari ini antara homestay popular di sana.

Kisah Kembara

Seperti kunjungan sebelumnya, Cameron Highland yang mempunyai populasi 25,500 penduduk (2010) hari ini meriah dengan bukan sahaja penduduk, tetapi juga pengunjung seperti saya. Tentu sahaja udara sejuk menjadi subjek utama keunikannya kepada saya selain subjek lain seperti sayur, teh, buah, rama-rama, madu lebah dan cenderamata.

Kami tidak mengunjung semua lokasi menarik (place of interest) sebagaimana pengunjung lain barangkali. Kekangan kerana membawa 3 orang anak kecil yang adakala sukar dikawal dan perlu 'dihormati' waktu tidur mereka disamping hujan hampir sepanjang hari mendorong kami bersifat selektif dalam memilih lokasi samada bertujuan mencuci mata mahupun membeli belah.

Kagum rasanya dengan kemeriahan sayur di sana. Nampaknya kepelbagaian dan harganya cukup menarik di luar jangkaan saya yang lebih biasa dengan Kundasang, Sabah. Segar dan bersihnya sayur-sayur tersebut yang sebahagiannya ditanam secara hidroponik menipu mata saya seolah-olah ianya 'sayur plastik'.

Strawberry yang tidak keterlaluan saya katakan sudah menjadi sebagai 'maskot' Cameron Highland diterjemahkan ke pelbagai bentuk selain bentuk asalnya seperti bantal, kek, ice-blended, aiskrim, sarung tangan, key-chain, topi, gula-gula, sarung kaki, sarung tangan, baju, pensil, pen, headset, cenderamata dan segala benda seperti tiada batasan. Buah masam itu yang dahulukan saya makan bersama gula ising kini dimakan bersama coklat!

Seiring dengan perkembangan semasa, teh yang dahulunya hanya berperisa daun teh kini telah 'dikahwinkan' dengan pelbagai buah-buahan memungkinkan kita minum teh berperisa strawberry, mangga, anggur dan sebagainya. Juga menangkap perhatian saya iaitu jambu batu yang dijerukkan dan kemudian diberi nama Jambu Epal.

MasyaAllah...............banyak inovasi dan ia kini sebahagian dari wajah Cameron Highland yang kini merupakan lokasi peranginan popular di Malaysia.

Hospital Cameron Highland?

Sebagai warga Kementerian Kesihatan Malaysia, teruja juga melihat bagaimanakah rupa hospital kerajaan yang terletak di tanah tinggi itu. Alhamdulillah, saya dan isteri ada kesempatan itu pada malam kedua, ketika hujan yang turun lebat pada petangnya telah mula berhenti.

kredit kepada tanggadomino.blogspot.com

"Wah, nanti balik dari Sabah kita minta transfer sini" kagum saya dengan suasana hospital yang diberi nama Hospital Sultanah Hajjah Kalthum (HSHK) itu.

Letakkan tidak jauh dari Pekan Tanah Rata. Saiz hospitalnya besar dari yang saya sangkakan. Suasana sejuk dengan sedikit kabus menjadikan persekitaran keseluruhannya tenang........sungguh tenang............sangat tenang.

Menjengah ke kuarters kakitangannya saya makin girang. Rekaannya indah dan saiz setiap unit agak besar. Gelanggang sukan di situ agak penuh, ramai kakitangan barangkali sedang bersukan dalam cuaca sejuk malam itu dengan disimpah lampu limpah.

Entahlah apa yang menjadikan suasana itu sesuatu yang menghiburkan bagi saya. Barangkali kesesakan, hiruk-pikuk, mesin rosak, kuarters lama yang buruk, kotor, dan tidak cukup menampung kakitangan, tempat parkir tidak cukup, wad busuk, pak guard bengis, jururawat garang, doktor sombong, ubat habis, borang difotostat senget kerana dikatakan bajet konon dan pelbagai sisi negatif telah membina persepsi saya tentang hospital kerajaan. Hidup di Kota Kinabalu menjadikan saya melihat Hospital Queen Elizabath dengan rupa begitu. Maafkan saya.

Alhamdulillah, ziarah ringkas kami ke sana meninggalkan kesan berbeza bagi saya. Baru saya teringat banyak hospital kerajaan yang saya lawati terutama yang baru juga mempunyai wajah positif begitu. Saya harap ziarah kami ke HSHK malam itu adalah wajah sebenarnya. Sehingga saat ini saya masih rindukan persekitaran itu. Saya juga sangat rindukan suasana sejuk berkabus itu, satu keunikan bagi HSHK.

Untuk damai atau hiburan?

Entah bilakah rezeki saya untuk bertandang kembali ke Cameron Highland. Lawatan saya terakhir sebelum ini adalah sekitar 7 tahun lalu. Barangkali lawatan seterusnya adalah sekitar itu juga..........beberapa tahun mendatang.

Ia bukan kampung saya, juga bukan tempat saya bermastautin, juga bukan tempat saya mencari rezeki. Berita-berita berkenaan Cameron Highland seperti tanah runtuh, kemalangan, pembukaan kebun secara haram, jatuh dan bangunnya jarang saya ambil peduli. Tetapi ketika bertandang ke sana tempoh hari, saya seolah mencari-cari lokasi yang dimaksudkan.

Tanah tinggi peranginan bercuaca sejuk yang dikatakan makin panas dek pembangunan, tanah runtuk dek hakisan akibat tangan-tangan manusia, banglo-banglo kosong dan mewah milik individu dibina di cerun bukit, kemasukan pekerja asing berduyun-duyun adalah antara senario yang menyakitkan mata buat saya. Ia kelihatan sedang berubah. Sedang berubah dari syurga kedamaian kepada syurga hiburan.

Saya mengharapkan saya masih dapat merasai damainya di sana kelak.

Semoga Perkongsian Bermanfaat

1 ulasan & perkongsian:

CIKU said...

hi tanggadomino dtg jenguk.so jadi ke tukar kat Cameron?