Saturday, March 12, 2011

Hiburan malam yang memalapkan cinta...


“Kita nak buat pusat pelancongan untuk waktu malam pun mereka ni bising. Benda ini pun nak dipolitikkan” ceritanya berkenaan usaha keras Kementerian Pelancongan menarik pelancong luar negara.


“Yang ‘hiburan malam’ tu? NKEA?” tanya saya minta kepastian.


“Eeem…yang tu. Bukan kita suruh diaorang datang! Kita buat untuk orang luar negara” jelas dia kepada kami. Semangat sungguh nampaknya.


Saya terkejut ayat begitu keluar dari mulutnya.


Ketika itu kami sedang makan tengah hari di sebuah hotel 5 bintang di Kota Kinabalu. Saya bersama kakitangan saya adalah peserta kursus. Dia merupakan urusetia yang juga bertugas di Kementerian Pelancongan.


Saya menjadi kaku. Geram pun ada.


Saya merenung saki-baki makanan di dalam pinggan. Membiarkan dia meneruskan ceritanya kepada kakitangan saya yang duduk semeja bersama.


Saya cuba mencari respon terbaik untuk ‘menyeimbangkan’ pendapatnya itu supaya tidak terlalu ketara diam saya secara tiba-tiba di situ.


Baru sahaja saya ingin membuka mulut, dia bangun meminta diri. Terpaksa ke Inanam katanya untuk memantau kursus lain di sana.


Kami mencintai Rasullulah?


“Saya tak setuju kata-kata dia yang terakhir tadi” cepat-cepat saya menangkap perhatian kakitangan saya.


Saya rasa bersalah jika membenarkan kakitangan saya mengiyakan pandangan tadi.


“Berkenaan ‘hiburan malam’ tu” saya cuba menarik fokus mereka.


“Dia kata kita buat ‘hiburan malam’ tu bukan untuk orang kita. Tapi siapa yang akan kerja sana nanti? Orang kita jugakan. Apa jaminan dia untuk orang kita tidak kerja sana?” geram saya.


Kesal rasanya bila saya tidak sempat bertanya soalan itu kepadanya.


Jika ‘hiburan malam’ itu benar-benar dikhususkan 100% kepada orang luar negara, apa pula jaminan mereka aktiviti tersebut bebas dari arak, mabuk, berciuman, rokok, perzinaan, pil khayal dan sebagainya?


Sudah pasti mereka berperilaku 100% seperti mana mereka di negara mereka.


Mereka mungkin tidak bersikap begitu di negara kita kerana ‘malu’ kepada kita.


Tidak banggakah kita dengan ‘malu’= segan mereka itu kerana kita?


Tetapi dalam situasi ini, kita menghidangkan pula kepada mereka tanpa diminta!


Saya tidak rasa saya bersikap prejudis. Tetapi tidakkah ianya logik?


Saudara di Palestin bermatian mendapatkan kembali tanah negara, kita menghidupkan taghut di tanah kita untuk mereka.


Untuk bincang hukum, undang-undang, peraturan, manfaat, mudarat dan berbagai-bagai memang mengundang perbincangan yang panjang.


Tetapi kalau kita bayangkan Rasullulah bersama kita pada hari ini, apalah alasan kita kepada Baginda?


Kadang-kala saya rasa kita begitu jauh dengan Baginda.


Makin malap………….


Ini soal cinta. BUKAN cerita politik.


Saya terbayang poster ‘Kami Mencintai Rasullulah’ yang ditampal di cermin muka rumah saya.


Poster itu saya dapat ketika mengujungi Karnival di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu ketika sambutan 12 Rabiulawal yang lalu.


Semoga Perkongsian Bermanfaat

2 ulasan & perkongsian:

mohdrusli said...

Ada juga hiburan malam yang menjernihkan hati.

Firdaus Bin Abd Rahman said...

Betul.......saya setuju. Saya pun sedang berusaha untuk hiburan malam itu. Memujuk hati untuk menjadikan ia sebagai hiburan buat hati.