Sunday, February 27, 2011

Cerita 26 Februari 2011


Kabinet dapur baru di rumah kami.............rekabentuk ilham dari isteri saya. Terima kasih juga kepada isteri saya kerana sudi menanggung kosnya ketika saya menumpukan kepada komitmen lain

Seawal pagi saya dan isteri sudah bangun.

Seusai solat Subuh, kami terus duduk di bilik mini-perpustakaan rumah kami yang juga merupakan bilik solat kami. Juga bersarapan di situ.

Bukan apa, rumah kami hampir keseluruhan agak 'kapal karam'!

Barang-barang dapur terpaksa dibawa keluar hampir semuanya sejak 3 hari lalu kerana memberi laluan kepada pemasangan kabinet dapur. Dari rak sehingga ke setiap bungkusan di dapur diletakkan di ruang tamu buat sementara.

Barang-barang dalam kotak sejak perpindahan rumah 4 bulan lalu juga dikeluarkan dari bilik tidur tetamu kerana baru membeli set bilik tidur kelmarin. Semua kotak-kotak itu perlu diselongkar segera memandangkan tempat menyimpan barangnya sudah ada - kabinet dapur dan wardrobe bilik.

Banyak urusan perlu diselesaikan hari ini juga..........mama dan abah dari Kuala Lumpur juga akan sampai lewat petang ini.

Kemas rumah

Untuk membantu, kami meminta Kak Rizzy dan anaknya membantu kami. Kami menjemput mereka di rumah mereka di Papar pada awal pagi.

Bermula dengan mengemas bilik, mengelap lantai, menyelongkar barang-barang dalam kotak, menyusun barang, menseterika baju, mencuci bilik air dan sebagainya.

Namun kerja-kerja tergendala seketika ketika bekalan air diputuskan seketika ketika kerja-kerja penukaran dan penyambungan semula paip air di dapur. Seketika pula tergendala kembali kerja apabila pekerja tanpa disengaja memutuskan kabel elektrik di dapur. Seluruh rumah black-out.

Seawal petang semua urusan lain sudah selesai.......hanya menunggu 'operasi dapur'.

Oleh kerana kabinet dapur masih belum selesai, kami terpaksa menunggu. Perancangan sudah tersasar dek kelewatan itu. Hanya ketika jam mengjangkau jam 4 petang, baharu kami boleh memulakan operasi di dapur. Daripada mengelap kabinet, mencuci lantai dan menyusun segala pinggan, mangkuk, periuk, sudu, garpu dan segalanya.

Ketika jam sudah menjangkau jam 6 petang, masih banyak urusan 'operasi dapur' belum selesai. Kami terpaksa bersiap-siap untuk mengambil abah dan mama di lapangan terbang. Kerja-kerja 'operasi dapur' terpaksa diteruskan dan mengharap sepenuhnya kepada Kak Rizzy dan anaknya. Abah dan mama akan sampai sekitar jam 7.05 petang.

Selesai solat maghrib, saya, isteri dan Faateh bertolak ke lapangan terbang. Kami terlambat sampai kali ini. Ketika dalam perjalanan, abah sudah memaklumkan mereka sedang menunggu di depan balai ketibaan!

Perancangan asal kami adalah untuk singgah di Taman Perdana Kota Kinabalu selepas mengambil mama dan abah. Tetapi perancangan itu terpaksa ditunda semula kerana Kak Rizzy dan anaknya masih di rumah kami, kami belum menghantar mereka pulang.

Tidak apalah, ada baiknya juga. Dari tepi jalan kami melihat sangat ramai tetamu taman itu malam ini. Ramai juga pengunjung kami melihat berjalan kaki dari jauh menuju ke pintu masuk uatama taman tersebut.............tempat parkir penuh agaknya.

InsyaAllah ada masa pada malam berikutnya.

Penghujung pertemuan

Saya bergerak menghantar Kak Rizzy dan anaknya ke Papar malam itu dengan ditemani abah dan Faateh.

Suasana agak sedih malam itu. Faateh yang telah bersama keluarga mereka lebih 4 bulan, bukan sekadar 'pelanggan' di sana. Dia menjadi rapat dengan mereka. Malah mereka juga begitu rapat nampaknya dengan Faateh.

Melihat telatah mereka dengan Faateh, saya akui ada beberapa gaya unik Faateh tidak saya maklum. Rasa terhibur melihat mereka bermain dengan Faateh malam itu.

Kak Rizzy (berbaju merah) bersama Faateh

"Nanti Faateh takde sini, rindulah kita pada Faateh" ucap Brian, anak bungsu Kak Rizzy sambil memeluk dan mencium Faateh.

"Nanti Faateh takde sini, rindulah kita pada Faateh" ucap Brian (yang sedang memegang Faateh)

Malam yang merupakan perpisahan antara Faateh dengan 'keluarga angkatnya'.

Umminya akan bercuti panjang sehingga akhir Mac 2011. Difahamkan umminya akan dapat tukar bekerja di Kota Kinabalu pada awal April 2011. Faateh akan dihantar semula ke nursery sekitar Kota Kinabalu nanti........tidak lagi di Papar.

Melihat telatah mereka mengucap selamat tinggal kepada Faateh, mengundang rasa hiba saya.

Tetapi saya menyimpan rasa gembira kerana ke mana sahaja Faateh pergi selama ini, perpisahan di penghujung pertemuan selalu mengundang kesedihan. Ini menunjukkan kehadiran Faateh sering mengundang gembira, kehadiran yang dirai dan disukai.

Saya mengharap keadaan berterusan begitu. Biarlah anak sulung saya ini mempunyai sikap suka memberi, kerana ia antara pra-syarat untuk berbakti. Kehadiran yang meninggalkan kesan baik dan dikenang apabila pergi.

Semoga anak tunggal kami ini (buat masa ini) menjadi manusia berguna dan berjasa. Moga dia juga layak menjadi contoh buat adik-adiknya kelak (InsyaAllah jika ada rezeki lagi buat saya dan isteri).

Sekitar jam hampir 10 malam, kami bertolak semula ke rumah.

Mama dan abah akan berada bersama kami selama seminggu di Kota Kinabalu. Banyak program menunggu.

Ya Allah izinkanlah kebaikan bagi kami dan mudahkan segala urusan kami.

Semoga Perkongsian Bermanfaat

0 ulasan & perkongsian: