Pages

Sunday, November 7, 2010

Kursus Profesionalisme Kepimpinan Pembaca Doa


Seronok juga sekali-sekala mengikuti kursus di luar skop bidang kerja.

Tambahan pula setelah mendapat makluman bahawa kursus yang akan dihadiri terdiri daripada peserta daripada mereka yang mungkin sebahagian besarnya tidak pernah kita dikenali. Ia adalah peluang untuk mengenali dan mendapatkan rakan-rakan baru. Mungkin juga ruang untuk berbual dan bertukar pendapat dalam hal di luar kebiasaan.

Kerana itu saya memilih untuk tidak menolak mentah-mentah apabila ditawarkan walaupun kerja di pejabat masih berduyun-duyun untuk diselesaikan.

Kursus Profesionalime Kepimpinan Pembaca Doa


Saya diberi peluang untuk menghadiri Kursus Profesionalisme Kepimpinan Pembaca Doa pada 1-3 November 2010.

Ia adalah kursus anjuran JAKIM Cawangan Sabah. Kursus yang diadakan di Pusat Latihan Islam Kundasang ini diadakan dalam cuaca sejuk di luar jangkaan saya.

Sejak sampai pada hari pertama, hujan turun dengan lebatnya dan dihebatkan dengan angin sejuk yang meniup. Di sebelah malamnya, hujan masih turun walaupun renyai-renyai bersama angin sejuk yang seperti mencucuk kulit.

Alhamdulillah, segala tetap berjalan lancar. Kursus yang dihadiri oleh 73 orang peserta (sambutan menggalakkan, difahamkan melebihi kuota perancangan asal) dari pelbagai jabatan dan semuanya lelaki diadakan di Dewan Tun Mustapha. Ia dimulakan dengan ceramah oleh Ust Norjeli Hj Dais yang merupakan Pengetua Pusat Latihan Dakwah Keningau. Ceramah diteruskan oleh Ustaz Amri Sirat. Ceramah-ceramah ini banyak menyentuh konsep berdoa serta peranan serta tatacara pembacaan doa dalam majlis rasmi & tidak rasmi.

Selepas 3 sesi ceramah adalah sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Saya yang termasuk dalam Kumpulan 1 yang fasilitatornya adalah Ustaz Amri Sirat. Seronok mendampingi Ustaz Amri - orangnya cukup bersahaja. ilmunya banyak, sikapnya bersederhana, bijak menjawab pertanyaan peserta dengan cara yang praktikal dan paling menarik hati saya adalah bacaan Qurannya yang begitu indah biarpun hanya dibaca seayat. Begitulah barangkali bila diri sudah sebati dengan Al-Quran.

Jika diikutkan, setiap peserta perlu memilih salah satu doa yang perlu dibacakan selama sesi LDK. Namun memandangkan peserta terlalu ramai dengan masa singkat yang ada, tidak semua berpeluang (dengan kata lain ramai yang lega) membaca doa di atas pentas sebagai praktikal membaca doa di majlis rasmi.

Cuaca sejuk

Sejak dari hari pertama sampai, cuaca sejuk menyelubungi Pusat Latihan Islam Kundasang tersebut. Kelibat Gunung Kinabalu sukar dilihat memandangkan awan tebal yang sentiasa menyelimutinya.

“Sejak saya di sini, ni kali pertama tak nampak gunung (Kinabalu) sepanjang hari” ucap Ustaz Alamin yang merupakan ketua fasilitator dalam kursus tersebut.

Sememangnya Gunung Kinabalu yang sekurang-kurangnya menjengah keluar dari celah awan pada awal pagi langsung tidak keluar pada hari kedua kursus kami. Pagi itu kami teruskan sahaja sesi fotografi walaupun hasrat untuk bergambar berlatar-belakangkan Gunung Kinabalu tidak kesampaian.

Sejuknya bukan kepalang. Tiada tempat selamat untuk melarikan diri dari kesejukan rasanya biarpun di bilik asrama. Mujurlah ada paip air panas di bilik asrama buat melegakan kesejukan badan seketika.

Seperti hotel dan penginapan lain di Kundasang, tiada sistem penghawa dingin dipasang. Walaupun pintu dan tingkap ditutup rapat, suasana masih sejuk. Oleh itu, selesa benar berselubung di dalam selimut sehingga saya terlepas sesi Qiamulail akibat tidak sedar. Sedikit sebanyak terasa menyesal kerana difahamkan ianya diimamkan oleh Ust Amri yang saya suka akan bacaan Qurannya.

Alhamdulillah, Gunung Kinabalu menjengah melihat kami pada hari ketiga kami berkursus. Ketika itulah ramai yang menyibukkan diri mengambil gambar sedari awal selepas subuh sehinggalah lewat pagi ketika ia mula diselimuti awan semula. Sesi fotografi rasmi juga diulang semula untuk mendapatkan latar-belakang Gunung Kinabalu.

Kebun sayur di Kg Mesilou

Pusat Latihan Islam Kundasang sebenarnya terletak di Kg Mesilou yang merupakan salah satu kawasan kebun sayur yang aktif di Kundasang.

Saya bersama-sama beberapa orang sahabat mengambil kesempatan masa senggang di petang hari kedua untuk mengunjungi kebun-kebun sayur yang berdekatan. Tujuan utama menjamu mata, malah tidak salah juga jika diizinkan membawa sedikit sayur berkenaan untuk dibawa ke rumah.

Memang di luar jangkaan. Saiz kebunnya sangat luas berbanding imiginasi awal. Disangka berjalan kaki hanya di sekitar, rupanya hampir 1 kilometer kami berjalan melintasi kebun sayur yang dimiliki oleh 3 orang tuan.

Kami bertegur sapa dengan pemilik mahupun pekerja yang ada. Sekadar bertanya khabar dirinya dan kebunnya! Juga mula 'berkenalan' dengan sayur yang entah apa namanya.

Mungkin sudah rezeki kami, kami dibekalkan pulang dengan satu plastik besar sayur kubis bulat dan panjang. Ia buat dikongsi dan dibahagi anatar kami. Hendak dibayar nilainya, tidak diterima. Katanya diberi untuk makan, bukan untuk dijual.

Sebelum pulang esoknya, kami berkunjung lagi ke kebun sayur lain yang lebih jauh jaraknya dengan menaiki kereta. Hasrat sahabat-sahabat adalah untuk memetik sendiri sayur di kebun.


"Jangan lepas peluang, belum tentu bila lagi ada peluang macam ni” ajak Abang Ismail yang merupakan Penghulu peserta dalam kursus ini.

Saya benar-benar tidak menyangka saiz kebun sayur di Kundasang ini sebesar itu – seluas mata memandang. Walaupun bukan pemakan sayur yang lahap, saya tidak melepaskan kesempatan untuk memetik dan membeli sayur ketika itu.

MasyaAllah, suburnya tanah yang Allah kurniakan di bumi Kundasang ini.

Tetapi timbul rasa kesal bila mendapati sebahagian besar kebun-kebun ini bukan dimiliki oleh orang Islam yang merupakan penghuni paling ramai di Kundasang. Bukan juga milik bumiputera di Sabah.

Perpisahan


Meskipun tidak sampai tiga hari berkenalan, bibit perkenalan yang baru di peringkat awal dengan peserta-peserta lain sudah sampai di hujung pertemuan.

Penutupan kursus disempurnakan oleh En Nor Alam Khan, Timbalan SUP Sabah (difahamkan menggantikan SUP yang masih sibuk dengan PRK Batu Sapi) dan juga dihadiri oleh Ust Aziz, Pengarah JAKIM Sabah.

Biarpun telah beberapa kali menghadiri kursus yang pesertanya dari pelbagai jabatan sejak berkhidmat dalam perkhidmatan awam, kursus ini adalah yang pertama dan agak unik kerana wakil jabatan terdiri dari 'tok syeikh' atau mereka cenderung agama sesuai dengan tema kursus.

Kerana itu tiga hari bersama bukan masa yang cukup untuk kami saling berkenalan. Kebiasaannya 'orang awam' yang cenderung beragama, ramah bila berbicara. Surau menjadi ruang bersosial. Solat jemaah menjadi amalan tanpa paksaan. Senyuman menjadi amalan. Ia antara yang indah bila berpeluang bila menghadiri kursus seperti ini.

Saya cuma adalah masalah, ramai yang merokok! Bukan sekadar jelas hukumnya makhruh, tetapi orang yang asma dan 'smoke detector' seperti saya amat terganggu.

Berhasrat meneruskan perkenalan, kami bertukar nombor telefon, alamat email, kedudukan / lokasi jabatan dan sebagainya.

Tidak ketinggalan alamat facebook.........wadah baru perhubungan sosial dan perhubungan hari ini !!!


Semoga Perkongsian Bermanfaat

No comments: