Pages

Monday, October 8, 2007

Iftar Jamaie bersama sahabat

Memang satu dari hasrat saya setiap kali pulang ke Semenanjung adalah bertemu dengan sahabat-sahabat yang sudah lama tidak ketemu. Begitu juga kepulangan saya kali ini.......saya tetap menanam hasrat yang sama.

Ia mungkin timbul dari rasa ‘kesal’ saya kerana kerap mengecualikan diri dari pelbagai program dan acara. Bila dijemput walimah, saya selalu mengucap tahniah melalui telefon / email sahaja. Tatkala ada program bersama, saya sering hanya membaca email atau SMS jemputan sahaja. Jika ada mohon tenaga kerja atau peruntukan masa, saya selalu berdiam diri. Begitulah dilema saya menjadi ‘orang jauh’.......ada kala dirundum rasa bersalah yang tidak sudah-sudah.

Walau bagaimanapun, ia biasanya agak sukar. Manakan tidak, jika saya balik ke Semenanjung kerana mengambil cuti rehat, sahabat-sahabat lain bekerja. Tidak sampai hati untuk mengganggu atau ‘mencuri’ masa kerja sahabat-sahabat. Jika hendak mengganggu di waktu malam / lepas waktu pejabat, takut pula mengganggu waktu rehat atau mengganggu peruntukan masa mereka dengan aktiviti mereka.....tidak kisah samada mereka masih bujang atau telah berkeluarga.

Lainlah kalau ‘dijemput’ atau ‘dipanggil’.....jarang sekali saya melepaskan peluang. Pasti saya akan hadir jika tiada urusan lain yang lebih penting. Lebih menarik jika ada program yang melibatkan ramai sahabat-sahabat. Mudah bagi saya juga, sekali harung boleh jumpa remai-ramai dalam satu acara sahaja.

Iftar Jamaie

“Ngko gi X iftar Alumni KL kat Darul Nadwah Ahad ni” SMS sahabat saya, Syamsa pada Jumaat lalu.

“Oh ye ke. Kalau ada nak jugak aku pi” jawab saya.

Macam mana lah saya boleh terlepas pandang ‘panggilan’ itu dalam email. Biasanya makluman-makluman sebegitu dimaklumkan dalam e-gruop kami jika tidak melalui SMS. Barangkali saya mentafsir ‘Iftar’ dan ‘Jamuan Raya’ sebagai perkara yang sama. Ia dua perkataan yang membawa maksud yang berbeza, tetapi puluhan email yang perlu diperhatikan dalam satu-satu masa biasa memaksa saya ‘menangkap’ point-point tertentu sahaja. Kerap juga ‘tersalah tangkap’ disebabkan ‘cara menangkap yang kurang cermat’.

Alhamdulillah, hasrat saya menemui sahabat-sahabat tertunai. Iftar jamaie pada hari Ahad (ditunda dari hari Sabtu) itu meriah walau tidak semua yang hadir. Cukup sederhana tetapi membawa seribu makna.

Yang bersama ketika itu Syamsa Rizal, Azmerullah, Wan Nor Faisal Amri, Azhan dan Amir. Turut bersama kami adalah Abang Man iaitu suami ustazah yang kami undang bersama untuk memberi sedikit pengisian sebelum iftar (berbuka puasa). Ramai lagi sahabat-sahabat perempuan, terlalu ramai.....mungkin 4 atau 5 kali ganda bilangannya daripada lelaki. Memang telah menjadi ‘tradisi’ sejak kami belajar bersama-sama dahulu, bilangan lelaki selalu sedikit dalam banyak program dan acara.

“Lelaki ni dah nak ‘pupus’ kot” gurau kami menyedari realiti yang berlaku.

Perkataan ‘pupus’ itu biarpun mungkin keterlaluan, ia sebenarnya memberi makna yang lebih dalam daripada sekadar ucapan atau perkataan. Orang lelaki (terutama yang muda) jarang yang berminat memenuhi aktiviti-aktiviti bermanfaat. Apatah lagi diajak bantu menjadi urusetia atau tenaga kerja. “InsyaAllah” jawab mereka ringkas. Tetapi sampai ke akhir masih belum muncul-muncul.

Satu realiti yang sudah sebati......?

Terdapat juga sahabat-sahabat lain yang tidak dapat bersama menghadirkan diri. Faktor ada program / urusan lain yang tidak dapat dielakkan. InsyaAllah, ada kesempatan dapat ketemu mereka.

Makan dalam talam

“Oooo.....dalam talam” ucap saya dalam hati yang terhibur melihat ‘persembahan’ apabila hidangan berbuka puasa dikeluarkan.

Rasanya sudah terlalu lama saya tidak menikmati makanan dalam talam. Di Sabah, budaya makan bertalam ini jarang diamalkan (tidak pernah jumpa seingat saya). Dalam majlis-majlis berbuka puasa atau majlis jamuan, semuanya menggunakan pinggan. Ceduk sendiri berapa banyak nak, pastu pandai-pandailah habiskan apa dalam pinggan masing-masing.

“Siapa duduk (makan setalam) dengan Azmeer, memang rugi” gurau Syamsa.

Kami selalu bergurau begitu dari dulu kerana Azmeer terkenal dengan makan banyak.

“Saje je dia nak mengaburi mata kita bawa anak dia duduk sekali” saya menyambung pula.

“Sekali suap kat anak dia, sepuluh kali suap kat dia” Syamsa menambah lagi.

Telatah lama kami ‘didendangkan’ semula setelah lama ia menyepi. Memang terhibur dan ceria melayan rindu yang tersimpan lama.

“Kita ni orang ke kambing?” ‘komen’ saya melihat talam yang 1 per 4 dipenuhi ulam.

Ada sahaja celoteh kami. Entah kenapa bila bersama, kami mudah untuk bergurau (yang tidak keterlaluan). Bila dilihat sesuatu, ada sahaja idea jenaka yang timbul.....cukup sekadar menceriakan suasana. Tidak pernah melukakan hati sesiapa.

Nikmat makan bertalam

Memang ada makna dan ‘rasa’tersendiri makan bertalam ini. Walaupun ia tidak memenuhi privacy (jika kita menganggap ia keperluan ketika makan), ia lebih jauh memberi nikmat dari makan berpinggan. Jika anda kerap makan bertalam, anda akan rasa keseorangan jika tiba-tiba makan di dalam pinggan.

Tetapi yang lebih penting adalah impaknya dalam membina persaudaraan sesama manusia. Dalam konteks persaudaraan Islam, ia menguatkan rasa cinta kita pada saudara seIslam. Jika sebelumnya kita merasa ‘tawar’ atau ‘kelat’ pada seseorang, mungkin makan bertalam boleh menjadi salah satu terapinya. Selain setalam, pernah juga kami bersuap-suap antara suap sama lain (sukarela atau permintaan oleh urusetia) kerana sememangnya kami menagih kekuatan persaudaraan Islam.

Mungkin kerana suapan-suapan yang lalu membawa pertemuan kami pada hari ini.
Subhanallah. Maha Suci Allah.

Bila makan bertalam, kita lebih bersopan dan disiplin kerana bersama kita ada sahabat lain. Secara automatik kita pandai mengatur diri di mana mahu menyusun nasi dan lauk, di mana mahu menggaul nasi dengan kuah, di mana hendak membuang sisa (tulang atau biji). Apa yang disuap ke mulut kita, itu juga yang masuk ke mulut mereka. Makanan dan lauk atau apa sahaja di talam dikongsi seadil-adilnya. Yang sikit dirasai bersama, yang banyak dinikmati juga bersama....secara tidak langsung mencetus sikap kerjasama dan berpasukan. Sikap inilah yang dipupuk sehingga mampu menjadikan perpaduan umat Islam dahulu begitu teguh. Satu katandusan kita di akhir zaman......

Jika anda pertama kali mencuba, anda mungkin boleh terus ‘jatuh cinta’ pada budaya makan bertalam. ‘Jatuh cinta’ bukan kerana ianya lebih jimat, tetapi kerana manis ketika berkongsi rasa dan jiwa.

Memang sukar mengamalkannya di zaman ini jika takut dianggap pelik atau dilabelkan bersama dengan mana-mana puak. Tetapi jangan ia dijadikan alasan untuk kita membunuh sunnah ini. Kita sudah terlalu jauh membaratkan diri sehingga kita rasa asing dengan adat dan budaya sendiri. Tambah rugi jika yang kita tinggalkan adalah cara hidup dan ajaran Rasululah yang pasti mengundang 1001 kebaikan dan manfaat.

Terima kasih kepada tuan rumah

Terima kasih kepada Masnor dan Haniza (dan dua orang lagi rakan serumah, tidak sempat saya berkenalan) atas jemputan dan hidangan talam. Memang sukar berhempas pulas, mencuri masa merancang dan mengendalikan seperti apa yang kalian lakukan di kala kesibukan mencengkan dan menghimpit.

Saya mendoakan semoga Darul Nadwah terus meriah dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Terima kasih daun keladi. Semoga jumpa lagi.
Terima kasih juga kepada Syamsa + Juliazira

Terima kasih juga kepada Syamsa Rizal Abdullah dan Juliazira Jamain atas nasi ayam dan bihun goreng untuk iftar tempoh hari (11 Oktober 2007).

Dapat juga saya berjumpa anak mereka Hurul Ain Sakinah Binti Syamsa Rizal. Walaupun tidak dapat bermain dan ‘bermesra’ dengan Ain mungkin kerana stranger anxiety, kami terhibur melihat telatah anak kecil berumur lebih satu tahun itu.

Terima kasih banyak-banyak.

1 comment: